Bekas Pemain Nombor Satu Dunia, Garbine Muguruza Umum Bersara Daripada Tenis
BARCELONA — Bekas pemain nombor satu dunia dan pemenang dua kali Grand Slam, Garbine Muguruza mengumumkan persaraan daripada sukan Tenis pada semalam selepas lebih setahun tidak bermain, lapor France24.
Menurutnya, ia bukanlah satu keputusan yang mudah sebelum memutuskan perkara itu.
“Masanya telah tiba untuk saya mengucapkan selamat tinggal. Sukan ini merupakan kerjaya yang panjang dan indah, tetapi saya rasa sudah tiba masanya untuk bersara.
“Keputusan ini telah saya fikirkan secara berperingkat sebelum memutuskannya,” katanya pada sidang media di Anugerah Laureus.
Muguruza, 30, tidak lagi menyertai atau bertanding dalam mana-mana perlawanan rasmi sejak Januari 2023 dan kali terakhir dia menyertai pertandingan rasmi adalah di Terbuka Lyon.
Gambar: AFP“Setelah bersara, saya akan pulang ke tanah air dan berehat, bebas daripada sukan ini,” katanya yang berjaya merangkul gelaran perseorangan wanita.
Katanya lagi, setiap hari yang berlalu dia merasakan lebih baik.
“Setiap hari yang berlalu saya berasa lebih baik dan saya tidak terlepas melakukan disiplin hidup saya sebelum ini, jadi ia adalah satu perkara yang progresif,” beritahunya.
Karier Muguruza
Untuk pengetahuan, Muguruza membuat penampilan pertamanya dalam seri utama Persatuan Tenis Wanita (WTA) pada 2012.
Pada 2015, dia berjaya mara hingga ke peringkat akhir Grand Slam sebelum tewas kepada lawan, Serena Williams di Wimbledon.
Bagaimanapun, pada 2016, dia berjaya menebus kekecewaannya dengan menewaskan pemain Amerika untuk menjuarai Grand Slam buat pertama kali di Terbuka Perancis.
Pada 2017, dia juga berjaya menewaskan Venus William juga dari Amerika Syarikat untuk untuk memenangi kejuaraan Wimbledon.
Dia juga merupakan wanita Sepanyol pertama menjulang trofi Grand Slam sejak Arantxa Sanchez Vicario yang memenanginya di ibu negara Perancis itu pada 1998.
Muguruza turut mencipta sejarah dengan menjadi wanita Sepanyol pertama yang berjaya di Kelab All England sejak Conchita Martinez pada 1994 selepas menambah gelaran Wimbledonnya.
Sumber: AFP via France24