
IPOH, 9 Mac (Bernama) — Seorang bekas pegawai tadbir Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan rasuah untuk menghapus bukti kesalahan urus niaga kelapa sawit tanpa lesen, Oktober lepas.
Bagaimanapun, Selamat Mulyono Juni, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.
Mengikut pertuduhan pertama, Selamat Mulyono, pegawai tadbir di Pejabat MPOB Wilayah, Butterworth, Pulau Pinang, secara rasuah telah meminta suapan RM6,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk menghapuskan bukti gambar siasatan berhubung kesalahan urus niaga Khaffa Vision Enterprise yang menjalankan urus niaga jual buah kelapa sawit setelah lesen perniagaan Dealer Fruit (DF) MPOB tamat tempoh.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat MPOB Wilayah, Butterworth, Pulau Pinang, pada 6 petang, 14 Okt 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Selamat Mulyono didakwa telah secara rasuah memperoleh suapan untuk dirinya wang tunai RM1,500 daripada individu sama.
Perbuatan itu sebagai dorongan kononnya agar pihak penguatkuasaan MPOB tidak akan mengambil sebarang tindakan kepada lelaki itu atas kesalahan syarikatnya menjalankan urus niaga buah kelapa sawit setelah lesen itu tamat tempoh.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Parit Buntar Perak di sini pada 6.35 petang , 20 Okt tahun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana dia mempunyai anak berusia enam bulan yang menghidap kanser otak dan dia tidak bekerja.
Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei untuk sebutan kes.
— BERNAMA