Bekas Menteri Pertanian Dan Hal Ehwal Luar Bandar China Dijatuhi Hukuman Mati
Bekas Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China, Tang Renjian, dijatuhi hukuman mati dengan penangguhan selama dua tahun selepas didapati bersalah menerima rasuah, menurut Mahkamah Pertengahan Rakyat Changchun, Wilayah Jilin pada Ahad.
Menurut China Daily, mahkamah turut memutuskan semua hak politik Tang dilucutkan seumur hidup dan kesemua aset peribadinya dirampas. Keuntungan haram serta faedah berkaitan juga diarahkan untuk diserahkan kepada Perbendaharaan Negara.
Hasil siasatan mendapati, antara tahun 2007 hingga 2024, Tang menyalahgunakan kedudukan rasminya termasuk sebagai Gabenor Wilayah Gansu dan Menteri Pertanian serta Hal Ehwal Luar Bandar.
Beliau didakwa membantu individu serta jabatan tertentu dalam urusan operasi perniagaan, kontrak projek dan pelantikan jawatan.
Sebagai balasan, Tang menerima rasuah berjumlah 268 juta yuan, kata mahkamah.
“Tang wajar disabitkan kesalahan rasuah dan dijatuhkan hukuman mati kerana jumlah rasuah yang diterima sangat besar, sehingga menyebabkan kerugian besar kepada negara dan rakyat,” menurut penghakiman itu.
Mengaku bersalah
Namun, mahkamah menyatakan hukuman lebih ringan diberikan kerana Tang mengaku bersalah. Tang juga secara sukarela mendedahkan rasuah yang tidak diketahui pihak penyiasat, serta bersetuju menyerahkan semula hasil rasuah tersebut.
Tang, 63, berasal dari Chongqing, memulakan kerjaya pada tahun 1983 dan menyertai Parti Komunis China pada tahun 1991. Beliau menabur bakti dalam sektor pertanian negara selama beberapa dekad.
Pada Mei 2024, beliau disiasat atas dakwaan serius melanggar disiplin parti dan undang-undang negara. Enam bulan kemudian, Tang dipecat daripada parti serta dilucutkan jawatan awam. Pada April lalu, beliau didakwa secara rasmi atas tuduhan rasuah, dan kesnya dibicarakan secara terbuka pada Julai, lapor China Daily.
Untuk info, di China, hukuman mati yang ditangguhkan biasanya akan ditukar kepada penjara seumur hidup sekiranya pesalah tidak melakukan sebarang kesalahan baharu sepanjang tempoh percubaan dua tahun. Hukuman itu juga boleh diringankan lagi atas dasar kelakuan baik.
BACA: 3 Wanita Dibunuh Kejam Dalam “Live” Instagram
BACA: Tujuh Maut Dalam Kemalangan Kereta Kabel
BACA: Wanita Maut Terpijak Asid ‘Pelarut Tulang’ Ketika Berjalan Di Kawasan Bukit
Sumber: China Daily