
Bekas Ahli Kumpulan K-Pop, Jaehyun Meninggal Dunia
Bekas ahli kumpulan K-pop, F.ABLE, Shim Jaehyun atau lebih dikenali sebagai Jaehyun disahkan meninggal dunia pada 29 Jun lalu.
Menurut laporan Allkpop, berita tersebut mula dikongsi antara kenalan rapat yang kemudiannya disahkan peminat dan rakan menerusi dalam talian.
Pemergian mendiang dilaporkan selepas melawan penyakit leukemia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, keadaan kesihatannya tidak pernah didedahkan secara meluas kepada umum.
Butiran diagnosis dan rawatan mendiang dirahsiakan oleh ahli keluarganya.
Dilahirkan pada 7 April 2002, mendiang mula berkecimpung dalam dunia hiburan bersama F.ABLE pada Jun 2020. Ketika itu, mereka bernaung di bawah Haeirum Entertainment.
Sebagai ahli termuda kumpulan berkenaan, mendiang digelar sebagai ‘maknae’ selain berperanan sebagai vokalis.
Nama F.ABLE tidak begitu menonjol dalam industri K-pop, namun kumpulan berkenaan terkenal dalam kalangan peminat setia mereka yang menghargai ikatan erat antara ahlinya serta usaha gigih mereka ketika membuat persembahan.
Sepanjang tempoh aktif, F.ABLE sempat menghasilkan beberapa single iaitu Burn It Up dan Run Run Run. Menjelang pertengahan 2023, kumpulan berkenaan mula menyepi tanpa sebarang berita.
Tanpa sebarang pengumuman rasmi, tiga daripada lima ahli kumpulan berkenaan muncul semula (re-debut) sebagai ENPHAZE. Dengan ini, peminat menganggap F.ABLE sudah dibubarkan.
Kehidupan mendiang menjadi misteri kepada semua selepas pembubaran berkenaan.
Bekas ahli F.ABLE, Hojun memuat naik ucapan takziah di media sosial miliknya apabila mendengar khabar duka pemergian Jaehyun.
“Jae Hyun, saya terlambat mengetahui berita ini. Maafkan saya tidak dapat berada bersama di perjalanan terakhirmu.
“Kadangkala saya terfikir apa yang boleh saya lakukan dengan lebih baik dan itu yang saya kesalkan. Saya doakan awak dapat lepaskan semua kerisauan dan hidup dengan tenang di sana,” ucapnya.
Hojun turut mengucapkan terima kasih buat mendiang atas kenangan mereka bersama.
“Saya harap awak dapat makan makanan sedap-sedap dan bahagia di sana. Datanglah jenguk saya dalam mimpi,” titipnya.
Sumber: Allkpop