Kerajaan menjangka bekalan vaksin Covid-19 akan diperolehi pada Februari depan, menurut Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Terdahulu, kerajaan telah membuat satu perjanjian bersama dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan bekalan awal vaksin Covid-19 sebanyak 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.
Melalui perjanjian itu, Pfizer dilaporkan berjanji untuk menghantar sebanyak satu juta dos bagi suku pertama 2021, disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum itu berkata, kerajaan akan meminta pembekal menyegerakan penghantaran berbanding jadual asal mulai Mac tahun depan.
Kerajaan juga bercadang meningkatkan pembelian vaksin Covid-19 agar dapat menampung keperluan imunisasi kepada 70 peratus rakyat daripada sasaran asal 30 peratus.
Sumber: Bernama TV