Sebuah majlis perkahwinan di Madhya Pradesh, India menjadi kecoh apabila dua beradik perempuan secara tidak sengaja tertukar pasangan ketika upacara pernikahan.
Memetik laporan Mirror, mereka tersilap berkahwin dengan pengantin lelaki yang salah selepas bekalan elektrik tiba-tiba terputus.
Difahamkan, sami tetap meneruskan perkahwinan walaupun tidak dapat membezakan pasangan pengantin ketika berada di dalam gelap.
Bapa kepada pengantin perempuan berkata bahawa sami itu mungkin keliru kerana anak-anaknya memakai pakaian yang sama dengan kain berwarna merah menutupi wajah mereka.
Malah, kedua-dua pengantin lelaki yang terdiri daripada keluarga berbeza itu turut memakai kain hiasan yang menyembunyikan wajah mereka.
Dalam kejadian pada Ahad lalu itu, ia telah menyebabkan perbalahan besar antara keluarga mereka.
Bagaimanapun, menurut India Times, kesilapan itu hanya terbongkar selepas pengantin lelaki membawa pulang pengantin perempuan masing-masing.
Sementara itu, sesetengah penduduk kampung berhujah bahawa pengantin perempuan harus menerima suami mereka walaupun penyatuan mereka dibuat secara silap.
Pun begitu, versi lain pula melaporkan bahawa kesilapan itu telah diperbetulkan pada hari berikutnya.
Malah, elektrik juga didakwa berfungsi semula semasa majlis itu dan sami menyedari kesilapan yang dilakukan olehnya.
Sumber: Mirror