Beberapa Stesen Rapid KL Ditutup Sementara Atas Faktor Keselamatan
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Beberapa stesen Rapid KL ditutup sementara hari ini atas faktor keselamatan sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 melibatkan laluan Kelana Jaya, Putrajaya dan Kajang bermula 4 petang hingga 6 petang.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan bagi Laluan Kelana Jaya, stesen yang terlibat ialah Ampang Park dan KLCC manakala Laluan Putrajaya, stesen Conlay, Persiaran KLCC serta Ampang Park.
“Bagi Laluan Kajang pula melibatkan stesen Bukit Bintang,” menurut kenyataan itu.
Sebagai alternatif, pengguna boleh menggunakan perkhidmatan Monorel di Stesen Bukit Nanas, Raja Chulan dan Bukit Bintang atau Laluan Kelana Jaya di Stesen Kampung Baru melalui Jambatan Saloma.
Syarikat pengendali pengangkutan awam itu turut memaklumkan bahawa stesen-stesen lain yang tidak terlibat akan beroperasi seperti biasa mengikut jadual waktu operasi harian.
Selain itu, perkhidmatan bas bagi Laluan T407 turut terjejas dan tidak dapat beroperasi buat sementara waktu disebabkan penutupan jalan oleh pihak berkuasa.
Operasi bas akan disambung semula selepas jalan kembali dibuka.
Sehubungan itu, Rapid KL menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan lebih awal dan merujuk laman media sosial Rapid KL atau aplikasi PULSE untuk status perkhidmatan terkini.
BACA: Anggota Trafik Terlibat Kemalangan Ketika Iring Delegasi ASEAN
Sumber: BERNAMA