Putrajaya, 4 Mei – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri mengesahkan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokasi terlibat telah berakhir semalam.
“PKPD di Menara CityOne, Malayan Mansion, Selangor Mansion dan kawasan di Masjid India telah tamat semalam iaitu 3 Mei,” ujar beliau dalam sidang media keselamatan hari ini.
Katanya, penamatan PKPD itu secara tidak langsung menyebabkan pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak mempunyai hala tuju. Justeru, mereka ditempatkan di depo imigresen ketika ini.
“Bila tamat, mereka akan bebas bergerak. Oleh itu, tiada tempat hala tuju lagi bagi PATI tersebut maka sebab itu kita tempatkan mereka di depo imigresen,” jelasnya.
“Bagi PKPD di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, berhampiran Pasar Borong KL, Parcel A dan B yang meliputi jalan 6/3A dan 9/3A Pusat Bandar Utara KL serta Pasar Borong KL juga telah ditamatkan semalam.
“Namun bagi Parcel C, D, E dan F, atas nasihat Menteri Kesihatan, kita berkeputusan melanjutkan PKPD mereka hingga 12 Mei 2020.
“Bagi PKPD di Tahfiz An-Nabawiah serta sebuah rumah di Sg Lui juga akan tamat pada hari esok, 5 Mei 2020.
“Manakala bagi PKPD Selayang Baru, Parcel A dan B juga telah ditamatkan semalam. Manakala bagi Parcel C,D,E dan F, atas nasihat Menteri Kesihatan, kerajaan berkeputusan melanjutkan PKPD hingga 12 Mei 2020.
“Terus kekal di rumah untuk kekal selamat,” kata beliau mengakhirkan ucapan.
Sumber: RTM