Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di beberapa negeri sehingga jam 8 malam ini.
Menerusi kenyataan di Twitter MetMalaysia, ribut petir dan hujan lebat diramal akan melanda di seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain itu cuaca yang sama juga dijangka akan melanda negeri Kedah iaitu di Baling dan Kulim, negeri Perak di Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim dan negeri Pahang di Tanah Tinggi Cameron.
“Bagi negeri Selangor, daerah yang terlibat adalah di Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang,” kata MetMalaysia.
Sementara itu, bagi Negeri Sembilan pula, daerah yang terlibat adalah Jelebu, Seremban dan Port Dickson.
Dalam pada itu daerah Sri Aman, Betong (Betong dan Saratok), Sarikei, Sibu, Mukah (Tanjung Manis dan Daro), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau), Miri (Marudi) dan Limbang di Sarawak dan daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat dan Sandakan (Tongod, Telupid dan Kinabatangan) di Sabah turut mengalami keadaan cuaca yang sama.
Sumber: MetMalaysia