MELAKA, 17 Mac (Bernama) — Bazar Ramadan Jalan Hang Tuah yang merupakan lokasi sering menjadi tumpuan, bakal memeriahkan kembali bulan puasa yang bermula bulan hadapan, selepas ia dibatalkan tahun lalu akibat pandemik COVID-19.
Datuk Bandar Melaka Bersejarah Datuk Zainal Abu berkata, kira-kira 100 tapak niaga dijangka akan dibuka di kawasan itu mengikut prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan kerajaan.
Katanya bazar yang menjadi tradisi ketika sambutan bulan puasa itu, antara lapan bazar Ramadan yang dijangka dibuka pada tahun ini, selain dua tapak bazar Ramadan baharu yang dicadangankan di pekarangan Stadium Hang Jebat, serta pusat beli-belah Mahkota Parade.
“Setakat ini, dijangka minimum 100 tapak niaga akan dibuka di setiap bazar tersebut, namun pihak kita tidak terlibat dalam kaedah pembahagian tapak bazar Ramadan, kerana ia akan diuruskan oleh persatuan peniaga yang terlibat.
“Kita juga menjangkakan jumlah permohonan bagi tapak bazar Ramadan di negeri ini akan meningkat 50 peratus, berikutan lebih ramai penduduk di Melaka menjadikan perniagaan sebagai punca mencari rezeki disebabkan terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya peningkatan itu membabitkan anggaran lebih 1,000 permohonan berbanding kira-kira 700 peniaga pada 2019.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, peningkatan permohonan itu juga didorong oleh inisiatif kerajaan negeri melalui kempen ‘Melaka Bebas Berniaga’ selama setahun.
“Jadi, kita memang jangkakan perkara ini, namun kita akan meletakkan satu syarat tambahan iaitu mana-mana peniaga yang ingin mendapatkan tapak niaga, perlu mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.
Katanya bagi mereka yang ingin menyertai bazar Ramadan berkenaan boleh membuat permohonan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.
Sumber: BERNAMA