Kejadian tertukar bayi pastinya menjadi mimpi ngeri atau ‘tragedi’ bagi sesebuah keluarga. Hanya kerana sedikit kecuaian, boleh terganggu nasab serta seluruh hidup seseorang anak kecil yang membesar dengan keluarga asing.
Lebih menyedihkan jika mereka tidak sempat bertemu ahli keluarga kandung yang telah ‘pergi’ dahulu sebelum masing-masing mengetahui hakikat sebenarnya.
Amatlah beruntung sekali jika ibu bapa tersedar lebih awal andai anak yang dibawa pulang bukanlah anak kandung mereka, sepertimana yang berlaku pada sepasang suami isteri, Cecil dan Muriel Stringer.
“Hidung tak sama”
Kredit: CBCMemetik kisah mereka yang dikongsikan oleh portal CBC, pasangan itu mula menyedari sesuatu yang berbeza pada bayi mereka ketika dibawa pulang kira-kira 58 tahun lepas.
Muriel Stringer yang sewaktu itu berusia 19 tahun telah melahirkan seorang bayi lelaki pada 8 Ogos 1962 yang diberi nama Kent.
Tiga hari kemudian, wanita itu pulang bersama bayi, suami dan ibunya ke rumah mereka dengan menaiki teksi.
Semasa berbual dengan ibunya, Muriel meluahkan rasa janggal apabila melihat bayi berkenaan.
“Saya berbual dengan ibu dan melihat bayi. Saya cakap, “Dia tak kelihatan seperti bayi saya,”, katanya kepada si ibu yang merupakan nenek bayi berkenaan.
“Bayi saya ada rambut hitam yang banyak dan hidungnya seperti saya. Hidung bayi ini seakan tidak sama,” tambah wanita itu.
Kebenaran terbongkar pada tag nama
Kredit: CBCBagaimanapun, si ibu kepada wanita berkenaan menganggap ia hanyalah kerana baju dan topi yang dipakai bayi tersebut.
Setelah menempuh perjalanan lebih kurang 40 kilometer, mereka pun tiba di rumah.
Kebenaran terbongkar apabila nenek kepada bayi itu membuka pakaian bayi berkenaan sebelum mendapati tag nama bayi lain.
“Bayi itu berusia satu hari. Bayi saya tiga hari,” kata Muriel.
Berikutan itu, Muriel telah menghubungi pihak hospital bagi memaklumkan hal tersebut. Setelah disemak, memang benar, bayi mereka masih berada di hospital.
“Saya rasa takut macam nak mati. Terfikir, macam mana kalau tak ada tag di tangannya? Ia menakutkan saya,” kata Muriel.
“Ada seorang wanita yang baru bersalin hari itu. Dia terlalu takut. Iyalah, apa-apa sahaja boleh terjadi kepada bayi yang baru lahir,” tambahnya.
Tersalah katil bayi
Kredit: CBCJelas Muriel, seorang jururawat di sana mendakwa seseorang telah meletakkan bayi di katil yang salah. Dan apabila pasangan itu ingin pulang, jururawat hanya melihat nama pada katil tersebut.
“Itu penjelasan mereka. Saya tak pasti jika itu yang terjadi,” kongsinya yang bersyukur kerana mendapat semula bayi mereka pada hari yang sama.
Bagaimanapun, pasangan itu tidak marah dengan pertukaran tersebut kerana mengakui menerima rawatan yang baik di sana.
Sumber: CBC