Seorang bayi berusia lima bulan dilaporkan meninggal dunia kerana hipotermia setelah dipercayai ditinggalkan ibunya yang keluar untuk mewarnakan rambut.
Menurut News.com.au, setelah pulang ke rumah, ibu yang berusia 28 tahun itu menemukan anak lelakinya yang sudah tidak bernyawa dan menghubungi ambulans.

Kejadian itu berlaku di sebuah bandar kecil di Kamianka-Dniprovska, selatan Ukraine.
Paramedik dilaporkan memeriksa bayi tersebut dan membuat kesimpulan bahawa dia telah meninggal dunia beberapa jam sebelumnya.
Siasatan polis pula mendapati wanita itu meninggalkan bayi lelaki dan seorang anak perempuan yang berusia dua tahun di rumah mereka dalam keadaan suhu di luar yang sangat sejuk iaitu turun hingga -4 celcius.
Menurut laporan, wanita itu menghabiskan masa mewarnakan rambut bersama rakannya.

“Saya memberi makan kepada anak-anak dan meletakkan mereka di tempat tidur.
“Kemudian saya pergi berjumpa seorang rakan untuk meluruskan dan mewarnakan rambut saya.
“Ketika saya pulang ke rumah, saya mendapati bahawa anak saya sudah mati,” katanya kepada pihak polis.
Dia juga memberitahu polis bahawa dia tidak menggunakan dapur kayu untuk memanaskan rumah sebelum pergi berjumpa dengan rakannya.

Jurucakap polis, Olga Zinchenko mengatakan bahawa ibu dan dua anak itu tinggal dalam keadaan yang sangat tidak bersih tanpa sistem pemanasan dan elektrik.
Ibu tersebut bakal menghadapi hukuman penjara hingga 15 tahun jika didapati bersalah dan disabitkan kesalahan.
Anak perempuannya pula yang menyaksikan kematian adiknya dibawa oleh jabatan perkhidmatan sosial dan dimasukkan ke hospital tempatan.
Sumber: News.com.au