
Bayi Berusia 6 Bulan Ditemui Hidup Selepas Terperangkap Dalam Runtuhan Selama 82 Jam
Dalam beberapa hari ini, berita mengenai gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria sering disiarkan kepada orang ramai.
Terdapat pelbagai kisah yang menyayat hati selepas bencana itu menimpa penduduk di sana dan lebih menyedihkan lagi apabila angka mangsa terkorban meningkat mencecah ribuan orang.
Antara salah satu kisah yang menyedihkan, apabila pasukan penyelamat menemukan bayi dalam runtuhan yang meragut nyawa itu.
Hari ini, seorang lagi bayi ditemukan hidup-hidup selepas terperangkap selama 82 jam dalam runtuhan bangunan di lokasi kejadian di Turkiye.
Memetik laporan Anadolu, pasukan penyelamat menemukan bayi berusia enam bulan itu ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di sana.
Gabenor Wilayah Ordu Utara Tuncay Sonel berkata bayi bernama Yigit Calis, yang diselamatkan dari bawah runtuhan di wilayah Adiyaman tenggara itu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Terdahulu, pasukan penyelamat turut menjumpai seorang bayi dipercayai berusia 20 hari dalam runtuhan gempa bumi sambil menggenggam segumpal rambut ibunya.
Perkara tersebut dikongsikan oleh seorang penulis Turkiye di laman Twitter.
Dia memuat naik satu rakaman video berdurasi 11 saat dan difahamkan juga, bayi tersebut ditemukan di Kahramanmaraş di Turkiye.
Berdasarkan video tersebut, dapat dilihat bayi yang terselamat itu telah dibalut dengan sehelai kain.
Lebih mengejutkan, sewaktu anggota penyelamat sedang memeriksanya, bayi tersebut dilihat seakan mahu menunjukkan bahawa dia sempat menyimpan gumpalan rambut panjang milik ibunya sebagai kenangan.
Sekurang-kurangnya 16,170 orang terbunuh dan 64,194 lagi cedera akibat dua gempa bumi kuat yang mengegarkan selatan Turkiye pada Isnin.
Gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud berpusat di wilayah selatan Kahramanmaras, dirasai oleh 13 juta orang di 10 wilayah termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.
Beberapa negara di rantau ini, termasuk Syria dan Lubnan merasakan gegaran kuat yang melanda Turkiye dalam tempoh kurang daripada 10 jam.
Sumber: Agensi Anadolu
BACA: 16 Bayi Ditemui Di Gempa Bumi Turkiye Selamat Dibawa Ke Ankara