Sekurang-kurangnya 5 orang terkorban dalam kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan yang bertembung di Kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu. Kejadian yang berlaku berhampiran Simpang Sungai Ruan di Raub awal pagi tadi melibatkan kereta Perodua Myvi dan Perodua Kancil.
Pertembungan kedua-dua kereta itu dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Perodua Kancil dari arah Kota Bharu menuju ke Kuala Lumpur dikatakan memasuki laluan bertentangan kerana mengantuk.
Kejadian yang berlaku sekitar 2.45 pagi itu juga menyebabkan tiga lagi parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Lipis.
Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu, mereka yang maut ialah Hasliza Arini Muhamad@hamid, 34, bersama anaknya kecilnya Muhammad Khalish Kautsar Mohd Syaril yang baru berusia 2 tahun. Mangsa lain yang maut ialah Nasrul Fakhril Mansor, 38, bersama dua anggota keluarganya.
Sumber: BERNAMA