
Bayi 16 bulan jadi ‘Hero’ selepas derma organ kepada dua kanak-kanak lain
Seorang bayi berusia 16 bulan, di India, yang tidak dapat diselamatkan berikutan mengalami kecederaan parah dikepala menjadi ‘hero’ selepas dia membantu pesakit kronik dengan menderma organnya kepada dua kanak-kanak.
Bayi itu dilapor telah menderma buah pinggang dan hatinya kepada dua kanak-kanak yang mengalami masalah kronik.
Menurut doktor di AIIMS, bayi berkenaan sebelum dimasukkan ke pusat rawatan tersebut untuk mendapatkan rawatan pada 17 Ogos lalu dan disahkan kematian pada otak pada 25 Ogos.
Disebabkan kecederaan serius dan tidak dapat diselamatkan itu, ibu bapa bayi itu kemudian mengambil keputusan untuk mendermakan organnya kepada kanak-kanak lain yang mempunyai masalah penyakit kronik.
Manakala injap jantung dan kornea bayi itu telah disimpan di bank organ.
Organnya dipindahkan pada hari yang sama, buah pinggang telah diberikan kepada seorang budak lelaki yang menjalani dialisis selepas mengalami kegagalan buah pinggang. Menurut doktor, dia menjadi pesakit termuda di India yang mendapat pemindahan buah pinggang en-bloc.
Ia merujuk di mana dua buah pinggang daripada penderma pediatrik yang sama, bersama saluran darah dipindahkan ke dalam satu penerima.
“Pada kanak-kanak, saluran darah adalah nipis dan halus. Ia memerlukan penelitian untuk memindahkan keseluruhan susunan buah pinggang kepada seorang kanak-kanak.
“Kesilapan kecil tidak boleh terjadi. Salurannya sangat kecil dan terdapat risiko ia akan tersumbat yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang,” kata Dr Manjunath Pol yang melakukan pembedahan itu.
Tambahnya lagi, disebabkan pembedahan dilakukan ke atas kanak-kanak yang masih kecil, pihak hospital memerlukan peralatan pembedahan yang kecil dan sesuai dengan saiz pesakit.
Bagaimanapun, cabaran terbesar dalam pembedahan itu ialah meminimumkan kehilangan darah. Memandangkan jumlah darah pada kanak-kanak minimum, pesakit tidak boleh kehilangan darah melebihi 20 peratus daripada jumlah darah mereka.

Pembedahan itu dilaporkan berjaya dan penerima sedang menjalani proses pemulihan.
Sumber: New India Express