
E-Baucar Buku Pelajar IPT Fasa Kedua Bermula 30 Oktober – KPT
PUTRAJAYA — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan pelaksanaan E-Baucar Buku Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) fasa kedua akan bermula pada 30 Oktober 2024 hingga 31 Disember tahun ini.
Menurut KPT, lebih 1 juta pelajar IPT warganegara Malaysia akan menerima manfaat tersebut.
Difahamkan, penyaluran baucar itu akan dilaksanakan melalui platform digital kepada pelajar IPT yang berdaftar di bawah KPT dan berstatus aktif hingga 31 Mac 2024.
Diagihkan melalui platform MySISWAPLACE
“Kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal MySISWAPLACE di pautan https://mysiswaplace.my bermula 30 Okt0ber 2024.
“Penebusan kod baucar yang terjana di portal hanya sah digunakan untuk pembelian buku di portal MySISWAPLACE sahaja; dengan setiap pelajar layak menebus baucar berjumlah RM100,” maklum kenyataan tersebut.
Inisiatif ini adalah lanjutan kepada inisiatif baucar buku bernilai RM100 yang disalurkan kepada pelajar IPT pada Jun lalu.
Sehubungan itu, KPT berharap inisiatif ini dapat membantu menerapkan budaya cintakan ilmu dan buku sekaligus dapat memugar budaya membaca dalam kalangan pelajar IPT serta bakal merancakkan lagi industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan.
Sumber: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)