
Seorang remaja lelaki bernama Kacper Krauze, 13, menjadi kaku semasa mendayung bersama dengan rakan-rakannya di tasik yang membeku.
Dia kemudiannya lemas selepas terjatuh ke dalam tasik yang beku di Sungai Eden di Cumbria, England selama 25 minit. Selepas diselamatkan, jantungnya terpaksa dihidupkan semula menerusi renjatan elektrik yang dibuat semasa dalam perjalanan untuk ke hospital.

Susulan daripada itu, Kacper telah berada di dalam keadaan koma selama sembilan hari walaupun pelbagai inisiatif serta usaha telah dijalankan oleh pihak doktor serta ahli keluarganya.
Setelah pelbagai prosedur perubatan telah dijalankan oleh pihak doktor, peluang untuk Kacper sedar masih tidak lagi kelihatan sehinggalah emaknya yang bernama Wioletta, 43, menyembur haruman badan yang selalu dipakai oleh Kacper untuk mengekalkan kesegaran serta keharuman badan anaknya itu.
Sejurus selepas Kacper membau haruman tersebut, dia terus membukakan matanya dan sedar daripada koma. Dia kini dilaporkan dalam proses pemulihan yang sepenuhnya.

Wioletta berkata: “Jururawat telah mencadangkan kepada saya untuk membawa barang kelengkapan peribadi untuk menguruskan kebersihan dirinya. Namun, selepas saya menyembur haruman badan yang selalu dipakainya, dia terus membukakan matanya.
“Dia pasti mengingati bau yang menjadi kegemarannya. Sukar untuk saya mempercayainya,” tambah Wioletta.
Menurut Kacper: “Saya sangat-sangat menyukai bau haruman badan saya.
“Ianya merupakan bau kegemaran saya.”
Sumber: Daily Star