Ibu bapa kepada anak yang terlibat dalam kegiatan basikal lajak sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, tindakan itu boleh diambil sekiranya ibu bapa atau penjaga gagal untuk memastikan anak mereka tidak terlibat dalam kegiatan itu.
Tindakan itu adalah mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 dimana ibu bapa boleh didenda dan juga boleh dijatuhi hukuman penjara.
Tambah Azisman lagi, setakat ini hanya tindakan rampasan dan sitaan basikal serta pengeluaran saman kepada penunggang basikal lajak berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang.
Walau bagaimanapun, tindakan menangkap penunggang basikal lajak tidak boleh diambil daripada segi undang-undang kerana tidak menjadi kesalahan bagi anak-anak berusia kurang 10 tahun.
Pada 1 Nov lepas, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mencari pendekatan baharu bagi menangani isu basikal lajak yang semakin berleluasa di negara ini.
Dalam pada itu, ketua pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata JPJ secara dasarnya mempunyai peruntukan Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 yang memberikan kuasa kepadanya untuk menilai isu itu sebelum sebarang tindakan diambil.
Sumber: Bernama