Bariatrik Bukan Jalan Pintas: Realiti Sebenar Di Sebalik Transformasi Berat Badan
Dalam dunia moden hari ini, penurunan berat badan sering dilihat sebagai simbol kejayaan dan disiplin diri. Media sosial dibanjiri kisah transformasi fizikal.
Gambar sebelum dan selepas yang seakan memberi janji bahawa kebahagiaan datang seiring dengan angka kecil di penimbang.
Namun, bagi individu yang berdepan obesiti melampau, perjuangan mereka jauh lebih kompleks daripada sekadar menukar gaya hidup atau mengira kalori.
Di sinilah pembedahan bariatrik muncul sebagai harapan baharu. Ianya bukan untuk kecantikan semata-mata tetapi juga untuk menyelamatkan nyawa.
Ramai yang menganggap bariatrik sebagai jalan pintas untuk kurus seolah-olah semuanya selesai dengan satu pembedahan. Hakikatnya realiti di sebaliknya jauh lebih mencabar.
Bariatrik bukan pembedahan ajaib yang menjamin tubuh ideal tanpa usaha. Ia adalah satu bentuk rawatan perubatan yang memerlukan komitmen seumur hidup terhadap pemakanan sihat, senaman berterusan dan pemantauan kesihatan berkala. Tanpa disiplin dan kesediaan mental, hasilnya tidak akan kekal lama.
Di sebalik kisah kejayaan pesakit yang berjaya menurunkan puluhan kilogram, ada kisah tentang air mata, kesakitan dan penyesuaian semula terhadap kehidupan baharu.
Pembedahan ini bukan sekadar mengubah bentuk tubuh tetapi turut mengubah cara seseorang makan, bergerak, berfikir malah bagaimana mereka melihat diri sendiri.
Inilah sisi sebenar bariatrik yang jarang dibicarakan di mana harapan dan realiti berjalan seiring dalam satu perjalanan panjang menuju kesihatan yang sebenar.
Bagaimana pembedahan Bariatrik berfungsi
Untuk memahami bagaimana bariatrik membantu menurunkan berat badan, kita perlu faham sedikit tentang mekanismenya. Secara asas, prosedur ini berfungsi dengan dua cara utama iaitu sekatan dan malabsorpsi.
Dalam kaedah sekatan, doktor mengecilkan saiz perut supaya seseorang cepat berasa kenyang walaupun makan dalam kuantiti yang kecil.
Kadangkala, pita khas atau stapler digunakan untuk membahagi perut kepada dua bahagian dan menjadikan kapasiti makan lebih terhad.
Sementara itu, kaedah malabsorpsi pula melibatkan pemintasan sebahagian usus kecil bagi mengurangkan penyerapan kalori dan nutrien daripada makanan.
Hasilnya tubuh mengambil lebih sedikit tenaga daripada apa yang dimakan dan berat badan mula menurun secara konsisten.
Namun perubahan ini bukan sekadar fizikal. Ia juga melibatkan perubahan hormon seperti ghrelin (hormon lapar) dan leptin (hormon kenyang).
Selepas pembedahan, tahap ghrelin menurun dan menjadikan pesakit kurang berasa lapar. Inilah sebab ramai pesakit mendapati selera makan mereka berubah secara semula jadi selepas bariatrik.
Walaupun kedengaran seperti satu penyelesaian ajaib, hakikatnya tubuh akan memerlukan masa panjang untuk menyesuaikan diri.
Sistem penghadaman yang telah diubah secara kekal memerlukan perhatian rapi, pemantauan doktor dan kawalan pemakanan yang berterusan.
Kebaikan Bariatrik: Lebih daripada sekadar kurus
Kesan utama bariatrik sememangnya penurunan berat badan. Namun manfaatnya jauh lebih mendalam daripada sekadar angka di atas penimbang.
Pesakit yang menjalani prosedur ini sering melaporkan peningkatan besar dalam kesihatan fizikal dan mental mereka.
Dari segi kesihatan tubuh, ramai pesakit yang sebelum ini berdepan masalah diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit jantung dan apnea tidur menunjukkan penurunan simptom yang ketara.
Dalam banyak kes, kadar gula darah kembali normal tanpa memerlukan ubat-ubatan seperti insulin. Ini menjadikan bariatrik bukan sekadar rawatan kosmetik tetapi rawatan penyelamat nyawa bagi sesetengah pesakit.
Selain itu, penurunan berat badan turut membantu mengurangkan tekanan pada sendi, meningkatkan tenaga harian, memperbaiki pola tidur dan meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan.
Pesakit yang sebelum ini sukar bergerak kini mampu melakukan aktiviti yang mereka anggap mustahil. Contohnya seperti mendaki, berlari atau sekadar bermain bersama anak-anak tanpa cepat penat.
Dari segi kesihatan mental, perubahan fizikal ini turut membawa kelegaan emosi yang besar. Ramai pesakit melaporkan peningkatan keyakinan diri, motivasi dan rasa penghargaan terhadap kehidupan.
Bagi wanita pula, ada yang mendapati kitaran haid mereka kembali teratur dan peluang kehamilan meningkat terutamanya bagi mereka yang mengalami sindrom PCOS (Polycystic Ovary Syndrome).
Risiko dan kesan sampingan yang mungkin berlaku
Walaupun manfaatnya banyak, pembedahan bariatrik bukanlah sesuatu yang mudah atau tanpa risiko. Hakikat yang perlu difahami ialah bariatrik bukan penawar tetapi alat bantuan.
Kejayaannya bergantung sepenuhnya kepada sejauh mana pesakit sanggup mengubah cara hidup selepas pembedahan.
Selepas prosedur, pesakit perlu melalui fasa pemulihan yang mencabar. Pada minggu pertama, hanya makanan cair dibenarkan.
Selepas itu barulah perlahan-lahan beralih kepada makanan lembut, kemudian makanan pepejal yang sihat. Semua makanan tinggi gula, bergoreng atau diproses perlu dielakkan sepenuhnya kerana boleh menyebabkan masalah penghadaman dan muntah.
Keadaan ini juga boleh mencetuskan dumping syndrome iaitu situasi di mana makanan bergerak terlalu cepat ke usus dan menyebabkan pening, berpeluh serta rasa loya.
Selain itu, senaman berkala menjadi keperluan wajib. Tubuh yang kehilangan lemak dengan cepat memerlukan sokongan otot yang kuat untuk kekal sihat.
Tanpa senaman, metabolisme akan menurun dan berat badan boleh naik semula dalam beberapa tahun.
Tidak kurang penting, pesakit juga perlu mengambil suplemen vitamin dan mineral seumur hidup kerana sistem pencernaan yang diubah tidak lagi menyerap nutrien seefisien dahulu.
Kekurangan zat besi, vitamin B12, kalsium dan vitamin D antara komplikasi jangka panjang yang perlu dipantau dengan teliti.
Seperti mana-mana pembedahan lain, bariatrik datang dengan risiko tersendiri. Antara risiko jangka pendek termasuk jangkitan luka, pendarahan dalaman atau kebocoran pada sambungan usus dan perut.
Walaupun jarang berlaku, komplikasi ini boleh berbahaya jika tidak dirawat segera.
Dalam jangka panjang pula, sesetengah pesakit mungkin mengalami masalah seperti refluks asid, cirit-birit kronik, batu hempedu atau kehilangan rambut akibat kekurangan nutrisi.
Walau bagaimanapun, kebanyakan komplikasi ini boleh dielakkan melalui pemantauan berkala, pengambilan suplemen dan disiplin terhadap pelan pemakanan yang disyorkan oleh pakar diet.
Perubahan selepas bariatrik bukan sekadar fizikal. Ia juga menyentuh aspek mental dan sosial seseorang. Ramai pesakit tidak menyangka bahawa mereka perlu menyesuaikan diri dengan identiti baharu selepas kehilangan banyak berat badan.
Ada yang berasa seperti kehilangan sebahagian daripada diri mereka yang lama. Ada juga yang berdepan rasa bersalah atau tekanan sosial apabila orang sekeliling memberi komen berlebihan terhadap penampilan mereka.
Dalam kes tertentu, pesakit boleh mengalami perubahan emosi mendadak termasuk kemurungan ringan atau gangguan imej diri.
Atas sebab itu, kebanyakan hospital kini mewajibkan sesi kaunseling psikologi sebelum dan selepas pembedahan supaya pesakit benar-benar bersedia.
Bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental. Perjalanan bariatrik bukan perlumbaan tetapi perjalanan jangka panjang yang memerlukan sokongan emosi daripada keluarga, rakan dan komuniti.
Kesimpulannya, pembedahan bariatrik bukan sekadar prosedur untuk menurunkan berat badan. Ia adalah permulaan kepada kehidupan baharu.
Ia mampu mengubah arah hidup seseorang, membebaskan mereka daripada penyakit kronik dan memberi peluang kedua untuk menikmati hidup dengan lebih sihat.
Namun, bariatrik juga bukanlah ubat ajaib yang menjanjikan kesempurnaan. Ia datang bersama tanggungjawab besar untuk menjaga diri seumur hidup denagan amalan pemakanan yang lebih sihat, bersenam secara konsisten dan melakukan pemeriksaan kesihatan berkala.
Kejayaan sebenar pembedahan bariatrik tidak diukur pada berapa kilogram yang hilang tetapi sejauh mana seseorang itu berjaya mengekalkan gaya hidup baharu dengan disiplin dan kesedaran.
Akhirnya, bariatrik bukan tentang mahu menjadi kurus tetapi ianya tentang mahu hidup lebih lama, lebih sihat dan lebih gembira dengan diri sendiri.
Sumber : mayoclinic, jamanetwork
BACA : Sering Diabaikan, Ini Sebenarnya Posisi Memandu Yang Betul