Bapa & Tujuh Anak Maut Dalam Nahas Ngeri
Seorang bapa bersama tujuh anaknya maut dalam satu nahas ngeri apabila kenderaan mereka bertembung dengan sebuah trak di Daerah Al Shanan, Wilayah Hail, Arab Saudi pada Selasa.
Menurut laporan media tempatan, mangsa yang dikenali sebagai Sattam Faihan Al Katfa meninggal dunia di lokasi kejadian bersama semua anaknya.
Insiden tragis itu tidak meninggalkan sebarang mangsa terselamat, lapor The Gulf News.
Berita sedih ini telah mengundang gelombang pilu di media sosial dan seluruh Arab Saudi. Ini khususnya dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat setempat yang meratapi kehilangan satu keluarga secara serentak.
Bapa sempat tinggalkan pesanan terakhir
Lebih memilukan, tidak lama sebelum kemalangan berlaku, Sattam sempat memuat naik pesanan terakhir di akaun X miliknya.
“Pesanan pertama dan terakhir saya, apabila saya meninggal dunia, janganlah kamu lupa mendoakan saya. Maafkanlah saya, kerana dunia ini semakin menakutkan. Ampunilah saya, kerana mati tidak meminta izin daripada sesiapa,” tulisnya, seperti dilapor The Gulf News.
Sementara itu, seorang saudara mangsa, Assaf Al Lahhab, menzahirkan rasa dukacitanya di platform X.
“Dengan penuh kesedihan, kami menerima berita pemergian sepupu saya, Sattam bin Faihan bin Mushrif Al Katfa, bersama tujuh anaknya dalam nahas jalan raya yang dahsyat.
“Mereka semua telah kembali ke sisi Tuhan. Kami berdoa agar Allah melimpahkan rahmat dan keampunan kepada mereka, serta menempatkan mereka di syurga-Nya yang luas,” tulisnya.
Nahas itu kini menjadi bualan ramai di Arab Saudi, dengan orang ramai berkongsi doa serta menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa.
BACA: Aktivis Charlie Kirk Ditembak Di Khalayak Ramai, Disahkan Maut
BACA: Pokok Tumbang Bongkar Penemuan Tulang Manusia Dalam Batang Pokok
BACA: Tular Video Papar Ahli Politik Nepal ‘Lari’ Daripada Penunjuk Perasaan Guna Helikopter
Sumber: Gulf News