Bapa Gembira Dapat Pertemukan Anak Istimewanya Dengan Agong Dan Raja Permaisuri
Hasrat seorang bapa untuk mempertemukan anak istimewanya dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah tercapai selepas pasangan itu mencemar duli ke Kampung Penan Muslim, Bintulu.
Perkara itu telah dikongsikan menerusi perkongsian di TikTok, di mana bapa kanak-kanak istimewa yang dikenali sebagai Roland Jimba, 48, dilihat sedang mendukung anaknya itu.
Kanak-kanak bernama Missclyen itu dilahirkan dengan sindrom congenital generalised hypertrichosis di mana wajah dan tubuhnya ditumbuhi bulu dengan lebat.
Menurut Roland, sebelum ini anaknya itu hanya dapat dilihat menerusi aplikasi TikTok atau televisyen.
Beliau berhasrat untuk mempertemukan anaknya yang berusia dua tahun itu secara empat mata dengan Tuanku dan Permaisuri Agong.
“Saya mahu membawa anak saya berjumpa dengan Agong, selama ini Tuanku berdua hanya dapat melihatnya menerusi viral jadi disebabkan sudah sampai di Kampung Penan Muslim saya ingin mempertemukan mereka,” ujarnya menerusi rakaman video berdurasi lebih satu minit itu.
BACA: Kurang Sihat, Permaisuri Berkerusi Roda Ketika Di Lapangan Terbang
Dalam perkongsian video tersebut, Roland dapat dilihat telah berjaya membawa anaknya itu untuk berjumpa dengan pasangan diraja tersebut.
Susulan pertemuan itu, baginda berdua turut sempat menitipkan pesanan kepadanya agar menjaga anak itu dengan sebaiknya.
“Jaga baik-baik ya, anak syurga ni, tak buat pemeriksaan doktor,” titah Al-Sultan Abdullah.
Sumber: Sinar Harian