Kredit: SCMP

Bapa Berhenti Kerja, Buka Gerai Berhampiran Universiti Selepas Anak Mengadu Tentang Makanan

Athirah

Bapa Berhenti Kerja, Buka Gerai Berhampiran Universiti Selepas Anak Mengadu Tentang Makanan

Pengorbanan seorang bapa menarik perhatian ramai apabila beliau sanggup berhenti kerja dan menempuh perjalanan sejauh 900 kilometer untuk membuka gerai makanan berhampiran universiti anak perempuannya.

Menurut laporan South China Morning Post, tindakan itu dilakukan selepas anak perempuannya mengadu bahawa hidangan di kafe universiti tidak menepati citarasa seperti hidangan di rumah.

Difahamkan, anak perempuannya, Li Bingdi merupakan seorang pelajar tahun kedua di Universiti Normal Jilin di Siping, wilayah Jilin, China.

Sepanjang tahun lalu, Li sering mengadu bahawa dia tidak menyukai makanan di universitinya, yang menurutnya tidak bersih dan tidak menepati citarasa seperti hidangan di rumah.

Susulan itu, bapanya meletak jawatan daripada pekerjaannya di sebuah restoran barbeku di Tianjin, 900 kilometer dari Siping, dan bergerak ke selatan China untuk belajar cara memasak nasi goreng serta mi.

Beliau kemudian menyewa sebuah gerai berhampiran pintu masuk universiti anak perempuannya bagi menyediakan hidangan yang lebih mirip masakan rumah.

Mula beroperasi pada pertengahan Oktober

Perniagaan nasi goreng dan mi milik bapa Li mula beroperasi pada pertengahan Oktober lalu.

SCMP melaporkan pada hari pertama perniagaan, beliau hanya berjaya menjual tujuh set nasi goreng, memperoleh keuntungan yang kecil.

Pendapatannya lebih rendah daripada 70 yuan (kira-kira RM40) yang diperoleh anak perempuannya pada hari itu sebagai guru persendirian untuk seorang pelajar muda.

Oleh kerana merasa kasihan terhadap bapanya, Li kemudian berkongsi kisah bapanya di platform media sosial universitinya.

Li menyatakan bahawa bapanya menekankan kepentingan menyediakan makanan yang bersih dan sedang mendapatkan nasihat untuk meningkatkan prestasi perniagaannya.

Apa yang lebih mengejutkan pada keesokan harinya, ramai orang, termasuk pelajar, pensyarah serta penduduk berhampiran beratur panjang di gerai bapanya.

Bapa tidak mahu mengejar keuntungan besar

Beberapa pelanggan malah memesan lebih daripada yang diperlukan bagi menyokong perniagaannya, menurut Li.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Li banyak menghabiskan masa lapangnya untuk membantu bapanya.

“Bulan lepas, ayah saya memaklumkan dia berasa sejuk menguruskan gerai kerana cuaca. Tetapi sekarang dia sibuk dengan kerja dan hatinya berasa hangat

“Ayah saya tidak mahu mengejar keuntungan besar kerana dia hanya berharap dapat mencari rezeki. Oleh itu, dia berasa tenang tinggal di sini atas dua sebab iaitu menjaga saya dan menyara dirinya sendiri,” kata Li.

Li menambah bahawa dia dan ayahnya saling bergantung antara satu sama lain sejak pemergian ibunya akibat leukemia beberapa tahun lalu.

Dalam pada itu, Li turut mengimbas kembali bahawa ketika dia sedang memilih universiti dan tidak pasti bandar mana yang patut dituju, ayahnya memberitahunya bahawa ke mana sahaja dia pergi, ayahnya akan mengikut.

BACA: “Boleh Tak…” Reaksi Wanita Non-Muslim Dengar Alunan Ayat Al-Quran Raih Perhatian Ramai

Sumber: South China Morning Post