Bantuan Khas RM700 Untuk Penjawat Awam Gred 56 Ke Bawah

Iqbal Yasir

Kerajaan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM700 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah pada Januari 2023.

Dalam masa sama, kerajaan juga bersetuju memberikan BKK berjumlah RM350 bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen pada tempoh yang sama.

Pengumuman sedemikian diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai ‘berita baik buat penjawat awam‘ dalam Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di Putrajaya hari ini.

Selain BKK, Ismail juga turut mengumumkan beberapa lagi faedah lain yang bakal dinikmati oleh penjawat awam selepas ini.

Difahamkan, lima faedah lain yang diumum sebentar tadi termasuklah kenaikan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

“Kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkidmatan awam yang tidak menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.

“Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai di masa persaraan sekaligus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak,” katanya.

Selain itu, penjawat awam turut diberikan faedah tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari, menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

“Tambahan Cuti Rehat Khas Sebanyak lima hari ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul GCR yang lebih tinggi,” katanya.

Tambahan lagi, kerajaan juga turut mengumumkan perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod untuk urusan kematian ahli keluarga terdekat.

“Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan membuat penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.

“Kerajaan telah bersetuju menambah baik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2022.

“Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara ini,” maklum Ismail Sabri dalam pengumuman itu.

Sumber: Bernama