NASA & DARPA Uji Roket Haba Misi Bulan & Marikh
Gambar: DARPA

Bantu Misi Ke Marikh, NASA Bakal Uji Enjin Roket Nuklear

Iqbal Yasir

Bantu Misi Ke Marikh, NASA Bakal Uji Enjin Roket Nuklear

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dan Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan (DARPA) semalam memaklumkan bahawa mereka sedang menguji enjin roket terma nuklear di angkasa yang dijangka membolehkan kru NASA menjalankan misi di Marikh menjelang 2027.

Memetik laporan NASA, kedua-dua agensi itu dalam program Demonstration Rocket for Agile Cislunar Operations (DRACO) telah menggariskan peranan, tanggungjawab dan proses dalam mempercepatkan usaha pembangunan roket itu.

Presiden NASA, Bill Nelson berkata kerjasama itu merupakan pelan jangka panjang dalam membangunkan teknologi pendorong roket nuklear tercanggih itu menjelang 2027.

“Dengan bantuan teknologi baharu ini, angkasawan boleh melakukan perjalanan pergi dan balik dengan lebih pantas berbanding sebelum ini dan ia memfokuskan persediaan utama untuk misi kru ke Marikh.

“Tahniah kepada NASA dan DARPA atas pelaburan yang menakjubkan ini disamping membina masa depan bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Pentadbir bersekutu Direktorat Misi Teknologi Angkasa (STMD), Jim Reuter berkata mereka akan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki daripada banyak projek tenaga nuklear angkasa yang dijalankan itu.

“Bahan aeroangkasa terkini dan kemajuan bidang kejuruteraan membolehkan era baharu dalam teknologi tenaga nuklear angkasa dan demonstrasi penerbangan angkasa yang bakal merealisasikan pengangkutan angkasa Bumi-Bulan,” katanya.

Fungsi Roket Haba Nuklear

Difahamkan, roket haba nuklear itu dapat mempercepatkan tempoh masa pengangkutan dan mengurangkan risiko untuk angkasawan.

Tambahan lagi, ia merupakan kompenan utama untuk misi penghantaran manusia ke planet itu dengan penambahbaikan sistem yang lebih baik. Secara tidak langsung, ia dapat membantu NASA untuk memenuhi Objektif Bulan ke Marikh.

Selain itu, ia dapat memberi manfaat kepada angkasa termasuk peningkatan kapasiti muatan sains dan kuasa yang lebih tinggi serta komunikasi.

Dari segi enjin, roket ini menggunakan reaktor pembelahan bagi menghasilkan suhu yang sangat tinggi. Kemudian, enjin akan bertindak memindahkan haba yang dihasilkan oleh reaktor kepada bahan cecari pendorong sehingga menggerakkan roket berkenaan.

Untuk pengetahuan, sistem roket haba nuklear ini tiga kali ganda lebih efisien berbanding pendorong kimia konvensional.

Sementara itu, Timbalan Pentadbir NASA, Pam Melroy berkata kedua-dua agensi itu mempunyai hubungan yang baik dan telah lama berganding bahu.

“NASA mempunyai sejarah yang panjang sewaktu bekerjasama dengan DARPA dalam projek yang dijalankan masing-masing, misalnya perkidmatan dalam ruang.

“Perkongsian idea kami bersama-sama dapat memacu matlamat NASA untuk penghantaran manusia ke Marikh,” katanya lagi.

Pengoperasian DARPA

Di bawah kerjasama ini, STMD NASA akan mengetuai pembangunan teknikal enjin roket selaras dengan gabungan kapal angkasa DARPA.

Tambahan lagi, DARPA bakal bertindak sebagai penyelia kontrak dalam membangunkan roket ini secara berperingkat pada enjin dan reaktor.

Selain itu, DARPA akan mengetuai program ini keseluruhan termasuk gabungan, dapatan dalam sistem roket, kelulusan, penjadualan, keselamatan, liabilti, dan pemasangan enjin sebelum dilancarkan ke angkasa menjelang 2027.

Selain itu, Jabatan Tenaga (JAS) NASA dan industri juga sedang membangunkan teknologi nuklear angkasa lepas untuk pelbagai inisiatif bagi memanfaatkan penerokaan angkasa lepas.

Di bawah projek Fission Surface Power NASA, DOE telah mencadangkan tiga reka bentuk komersial untuk membangunkan konsep loji tenaga nuklear yang boleh digunakan di permukaan Bulan dan seterusnya Marikh.

Sehingga kini, NASA dan DOE sedang berusaha membentuk satu lagi reka bentuk komersial bagi meningkatkan produktiviti sistem enjin roket haba dan reka bentuk reaktor.

Walau bagaimanapun, reka bentuk ini masih lagi dalam pembangunan untuk jangka masa panjang dan tidak akan digunakan dalam enjin DRACO.

Kali terakhir ujian enjin roket nuklear dijalankan adalah pada 50 tahun lalu oleh pihak Amerika Syarikat menerusi projek Rover.

Sumber: NASA