Bank Negara Umum Naikkan OPR
Gambar via Bernama

Bank Negara Umum Naikkan OPR 25 Mata Kepada 2.25 Peratus

Faiz Mustafa

Bank Negara Malaysia (BNM) sebentar tadi mengumumkan bahawa pihaknya bersetuju untuk meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus.

Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat bersama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, 6 Julai 2022.

Dalam pada itu, BNM juga telah meningkatkan kadar tertinggi dan juga terendah koridor bagi OPR masing-masing kepada 2.50 peratus dan juga 2.00 peratus.

Menurut kenyataan BNM, dengan pembukaan semula ekonomi secara global dan keadaan pasar pekerja yang semakin bertambah baik telah mendukung pemulihan kegiatan ekonomi.

“Walau bagaimanapun, faktor-faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan tekanan kos yang semakin meningkat, konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

‘Tekanan inflasi terus meningkat disebabkan terutamanya oleh harga komoditi yang tinggi dan keadaan permintaan yang kukuh, meskipun keadaan rantaian bekalan global sedikit reda.

“Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat,” memetik kenyataan BNM sebentar tadi.

Disamping itu, kadar pertumbuhan global dijangka akan menjadi sederhana dan akan terus dipengaruhi oleh tekanan kos yang tinggi, konflik di Ukraine, keadaan rantaian bekalan secara global dan volatiliti pada masa hadapan.

“Bagi ekonomi Malaysia, kegiatan ekonomi terus meningkat pada bulan-bulan kebelakangan ini.

“Penunjuk eksport dan perbelanjaan runcit mengesahkan momentum pertumbuhan yang positif, disokong oleh peralihan ke fasa endemik.

“Dalam pasaran pekerja, kadar pengangguran terus menurun dengan penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang bertambah baik,” jelasnya.

Sumber: BNM