banjir kilat tanah runtuh
Kredit: Media Sosial

Banjir Kilat & Tanah Runtuh Di Sumatera Utara, Penduduk Bertempiaran Lari Selamatkan Diri

Sofea

Banjir Kilat & Tanah Runtuh Di Sumatera Utara, Penduduk Bertempiaran Lari Selamatkan Diri

Indonesia — Kejadian banjir kilat dan tanah runtuh melanda Kabupaten Tapanuli Tengah di Sumatera Utara pada Selasa susulan hujan lebat sejak dua hari lalu.

Memetik laporan CNN Indonesia, tanah runtuh yang berlaku di Kampung Mardame, Daerah Sitahuis, menimbus beberapa rumah dan mengorbankan seramai empat orang.

Mangsa yang merupakan seorang wanita dan tiga anaknya telah ditemui sekitar jam 7 pagi waktu tempatan.

Ketua kampung dan penduduk menemui mangsa selepas memecahkan pintu yang berkunci. Ketika berjaya masuk ke dalam rumah terbabit, mereka melihat salah satu bilik tertimbus di bawah serpihan tanah runtuh.

BACA: MetMalaysia Keluar Nasihat Sistem Cuaca Tekanan Rendah

Video yang menyaksikan detik-detik ketika tanah runtuh itu berlaku turut tular di media sosial.

Para penduduk dilihat bertempiaran melarikan diri ketika kejadian tersebut berlaku,

Dalam pada itu, beberapa batang kayu balak besar dilihat dibawa arus sehingga merosakkan rumah penduduk.

“Cuaca ekstrem yang melanda Tapanuli Tengah yang terletak di pantai barat Sumatera Utara menghadap Lautan Hindi disertai hujan dan ribut sejak malam Ahad hingga mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh di banyak kawasan,” kata Ketua Daerah Tapanuli Tengah, Masinton Pasaribu.

Masinton juga mengesahkan penduduk yang terjejas telah dipindahkan ke kawasan selamat.

“Kami juga sedang menyediakan bantuan logistik, dapur awam dan perkhidmatan kesihatan di lokasi pemindahan,” katanya.

Sementara itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memberi amaran mengenai potensi cuaca ekstrem melanda pantai barat wilayah Sumatera Utara sepanjang November hingga Disember.

Sumber: CNN Indonesia, Detik News,