
Kejadian banjir kilat telah mengakibatkan beberapa kawasan di pusat bandar mengalami trafik perlahan.
Menurut laporan daripada Astro Radio Traffic, satu insiden banjir kilat dilaporkan berlaku di Jalan Awan Besar dan terowong LRT Awan Besar dan mencetuskan kesesakan pada lokasi tersebut.
Bukan itu sahaja, beberapa laluan lain turut terjejas berikutan insiden banjir kilat ini iaitu di Lebuhraya Bukit Jalil, Lebuhraya KL-Seremban dan Jalan Kuching.
Dalam pada itu, amaran ribut petir dan hujan lebat telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada petang tadi dan melibatkan beberapa kawasan di Pantai Barat, khususnya Lembah Klang.
Kawasan Lembah Klang mula mengalami hujan secara berterusan sekitar 5.15 petang tadi dan berlarutan sehingga pulu 9.00 malam ini.
Para pengguna jalan raya diminta untuk memandu dengan berhemah dan mematuhi papan tanda trafik serta arahan pihak berkuasa untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Untuk jalan alternatif, pihak pengguna boleh merujuk laluan alternatif yang disediakan menerusi aplikasi Google Maps dan Waze.
Sumber: Astro Radio Traffic via Facebook, MetMalaysia