Banjir Kilat Dahsyat Landa Wilayah Di India, 23 Orang Tentera Dilapor Hilang
Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan berpuluh lagi termasuk 23 orang tentera dilaporkan hilang selepas hujan lebat memenuhi tasik glasier dan mencetuskan banjir kilat yang dahsyat di Sikkim, India.
Memetik laporan AFP, bencana banjir dari tasik glasier akan lebih kerap berlaku apabila suhu global meningkat dan ais mencair.
Malah, saintis juga turut memberi amaran bahawa banjir yang membawa maut merupakan kesan daripada cuaca ekstrem yang akan berlaku pada masa akan datang.
Gambar: Indian Army/AFPDalam pada itu, video yang dikeluarkan oleh jurucakap tentera India pula menyaksikan air deras yang bersalut dengan lumpur ‘menghentam’ kawasan pergunungan di timur laut negeri Sikkim.
“Banjir kilat berlaku di Sungai Teesta, 23 anggota kami telah dilaporkan hilang dan beberapa kenderaan tenggelam di dalam lumpur.
“Operasi mencari sedang dijalankan,” kata pihak tentera dalam satu kenyataan.
Difahamkan, banjir itu berpunca daripada Tasik Lhonak yang terletak di dasar glasier di puncak yang mengelilingi gunung ketiga tertinggi di dunia iaitu gunung Kangchenjunga.
Ia ditambah lagi dengan keadaan sungai yang berada di paras bahaya akibat hujan monsun. Impaknya, ia telah merosakkan empangan dan memusnahkan rumah serta fasiliti setempat.
Selain itu, gambar satelit yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India juga menunjukkan bahawa Tasik Lhonak telah menyusut hampir dua pertiga dalam tempoh semalaman.
Saiz kawasan itu dianggarkan kira-kira bersamaan dengan 150 padang bola sepak.
Gambar: Indian Army/AFPDalam pada itu, Ketua Menteri Sikkim, Prem Singh Tamang berkata perkhidmatan kecemasan sedang berusaha untuk membantu mereka yang terjejas akibat banjir itu dan menggesa orang ramai untuk kekal berwaspada.
Perdana Menteri, Narendra Modi pula memberi jaminan bahawa beliau akan memberi bantuan dan sokongan kepada mereka yang terjejas.
Untuk pengetahuan, Sikkim terletak berhampiran dengan sempadan India – Nepal – China. India membina beberapa kem tentera di situ bagi menjaga keselamatan sempadan.
Wilayah itu juga dilanda banjir kilat setiap tahun ketika hujan monsun, yang bermula pada bulan Jun.
Glasier yang mencair menambah isipadu air manakala pembinaan yang tidak terkawal di kawasan mudah banjir memburukkan lagi kerosakan.
Sumber: AFP