Situasi banjir di Terengganu dilaporkan bertambah buruk pagi ini, apabila jumlah mangsa meningkat sehingga mencecah 2,296 orang daripada 648 keluarga.
Peningkatan jumlah mangsa banjir itu berikutan terdapat dua lagi daerah yang turut dilanda banjir iaitu Dungun dan Hulu Terangganu yang dinaiki air sejak malam tadi. Jika sebelum ini, hanya dua daerah yang dilaporkan terkesan dengan bencana ini iaitu Besut dan Setiu.
Selaku daerah terawal dilanda banjir, seramai 1,110 mangsa daripada 279 keluarga telah ditempatkan di 21 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Besut. Bagi daerah Setiu, sebanyak 10 PPS telah dimanfaatkan untuk menempatkan seramai 553 masngsa dari 189 keluarga.
Sejak dibuka malam tadi, lima buah PPS di Hulu Terengganu telah menempatkan seramai 112 mangsa dari 35 buah keluarga. Begitu juga di Dungun, sebanyak empat buah pusat pemindahan telah menempatkan seramai 483 mangsa dari 134 keluarga yang terjejas.
Meninjau kepada rekod publicinfobanjir.water.gov.my, paras air di empat sungai di negeri Terengganu telah melebihi paras merbahaya.

Ekoran keadaan banjir yang semakin memburuk itu, dua jalan di Setiu telah ditutup bagi semua jenis kenderaan iaitu Jalan Kampung Bukit Alur/Alir Lik di Kampung Bukit. Disebabkan itu, pengguna dinasihatkan untuk menggunakan laluan lain iaitu dari Kampung Tayor ke Kampung Bukit.
Sumber: Sinar Harian