Gambar : Bernama

Banjir Di Besut, Setiu 445 Mangsa Dipindahkan

Sha Rossa

Besut : Hujan lebat yang berterusan di daerah Setiu dan Besut sejak semalam telah memaksa 445 mangsa daripada 142 keluarga dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman sebanyak empat PPS dibuka di Setiu, membabitkan 161 mangsa dari 70 keluarga.

“Di Besut pula enam PPS dibuka membabitkan 284 mangsa dari 72 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PPS yang dibuka di Setiu ialah di Surau Kampung Hulu Seladang yang menempatkan 41 mangsa, Sekolah Kebangsaan Kampung Besut (67), Dewan Kampung Besut (11) dan Masjid Kampung Merbau Menyusup (42).

Di Besut pula katanya, PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Felda Tenang menempatkan 24 mangsa, Dewan Terbuka Belaoh (36 mangsa), Masjid Kampung La (182), Sekolah Kebangsaan Sri Payung (enam), Surau Seberang La (15) dan Surau PPRT Kg Belaoh (21).

Sementara itu, paras air di dua sungai masih merekodkan bacaan melebihi paras bahaya, iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak setinggi 35.20 meter (m) berbanding paras bahaya 35m dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu setinggi 21.20m melepasi paras bahaya 21m.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my/ melaporkan Sungai Dungun di Pasir Raja merekod bacaan 37.17m mengatasi paras amaran 36.75m manakala Sungai Telemong di Kuala Ping di daerah Hulu Terengganu merekodkan bacaan 17.97m berbanding paras amaran 17.7m.

Selain itu, Sungai Setiu di Kampung Besut pula merekod bacaan 21.48 m melepasi paras amaran 20.8 m.

Dalam pada itu, tular di media sosial mengenai sepasang pengantin yang berdepan detik cemas apabila pajero yang mereka naiki ditenggelami air dipercayai di Hulu Besut.

Pasangan itu bagaimanapun telah diselamatkan dengan menaiki bot.

Sumber : Bernama