KUALA LUMPUR – Sembilan kes baharu positif Covid-19 telah direkodkan pada hari ini melibatkan mangsa banjir. Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan kes positif dalam kalangan mangsa berjumlah 460 kes.
Namun begitu, tiada kes baharu direkodkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan menjadikan jumlah keseluruhan kes di PPS kekal hanya 15 kes sahaja.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kluster di PPS juga kekal satu kluster.
Tambahnya, sebanyak 63 kes lagi telah membabitkan penyakit berjangkit dikesan berlaku dalam kalangan mangsa banjir, menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 2,038 kes.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Dr Noor Hisham menasihatkan agar kesemua mangsa banjir sentiasa memaklumkan status risiko Covid-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif Covid-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat. Hal ini bertujuan untuk pihaknya mengambil tindakan sewajarnya semasa proses pemindahan dan penyelamatan dijalankan.
Selain itu, mereka turut diminta untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS.
Sumber: Sinar Harian