Penduduk di kawasan perindustrian Olten yang terletak di sebuah bandar di barat laut Switzerland telah melaporkan bahawa terdapat serbuk coklat yang turun dari langit seakan hujan sedang melanda kawasan itu selama beberapa hari, lapor Odditycentral.
Laporan berkenaan serbuk coklat turun daripada langit di bandar Olten itu mula berlegar di internet beberapa hari lepas, disertakan dengan gambar-gambar kereta yang dilitupi dengan serbuk yang berwarna coklat.

Pada mulanya, ramai tidak mempercayai akan berita itu sehinggalah pihak berkuasa serta syarikat yang bertanggungjawab terhadap fenomena pelik itu mengesahkannya.
Bandar Olten, wilayah kanton Solothurn di Switzerland, adalah merupakan tempat kelahiran coklat jenama coklat Lindt & Spruengli, dan kerosakan sistem saluran pengudaraan pemanggang koko di kilang itu telah menyebabkan serbuk koko tersebut dilepaskan ke udara luar.

Angin kencang yang bertiup di kawasan itu sejak pagi Jumaat lalu telah meniupkan serbuk coklat dari kilang tersebut ke kawasan perumahan yang terletak berdekatan dengan kilang terbabit.
Kilang coklat berkenaan dilaporkan sedang bertungkus lumus untuk menyelesaikan masalah pengudaraan itu serta menegaskan bahawa serbuk tersebut tidak membahayakan kesihatan mahupun alam sekitar.
Sumber: odditycentral.com