Kota Cilegon, Banten di Indonesia dilaporkan berpotensi mengalami gempa bumi besar 8.7 magnitud bersama tsunami setinggi 8.28 meter dari Selat Sunda, lapor CNN Indonesia.
Perkara itu telah dimaklumkan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia pada Rabu.
“Lokasi Cilegon yang strategik iaitu berada di hujung barat Pulau Jawa di pinggir Selat Sunda menimbulkan risiko bencana yang cukup besar sekiranya berlaku gempa bumi dan tsunami pada bila-bila masa,” kata Ketua BMKG, Dwikorita Karnawati.
Menurutnya, terdapat empat punca yang menyebabkan wilayah itu berpotensi terdedah kepada gempa bumi dan tsunami iaitu Zon Sumber Gempa Megathrust, Zon Sesar Mentawai, Sesar Semangko dan Sesar Ujung Kulon.
Selain itu, Zon Graben Selat Sunda juga boleh terdedah kepada runtuhan dasar laut, selain letusan Gunung Anak Krakatau yang boleh mencetuskan tsunami.
Berdasarkan pemodelan yang dijalankan oleh BMKG, sekiranya berlaku gempa bumi yang berasal dari Zon Megathrust Selat Sunda, terdapat potensi gempa bumi dengan magnitud 8.7.
Kawasan Cilegon diramal akan terjejas akibat hentakan yang mencapai skala kerosakan ringan, sederhana hingga teruk.
Gelombang tsunami 8.28 meter pula dikatakan boleh berpunca daripada kedudukan pelabuhan yang berada di sebuah teluk berhadapan dengan selat yang bertentangan dengan Pulau Merak Besar.
Kesan tsunami berkemungkinan menyebabkan banjir yang dianggarkan mencapai jarak paling jauh kira-kira 1.5 kilometer dari pinggir pantai di Desa Tegalratu, Kecamatan Ciwandan dan Warnasari serta Daerah Citangkil di bandar Cilegon.
Sementara itu, kesan lain yang boleh melanda Cilegon ialah kerosakan kawasan perindustrian akibat gempa bumi dan tsunami.
Bahan kimia berbahaya mungkin akan tersebar dalam kawasan itu dan memberi risiko kepada penduduk.
Sumber: CNN Indonesia