Jengka, PAHANG – Berkat kesedaran seorang imam mengenai kepentingan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah membantu membela nasib dan mengurangkan keperitan yang dilalui oleh warisnya selepas dia meninggal dunia akibat dilanggar sebuah pacuan empat roda pada 11 Mei lalu.
Ketika kejadian itu, Allahyarham Abdul Hamid Dak, 70 tahun, yang juga seorang amil zakat, baru sahaja selesai mengimamkan solat Zohor bersama jemaah di Masjid Ar-Rahmah, Felda Jengka 25, Bandar Jengka Pahang.
Allahyarham yang meninggalkan seorang balu sebelum itu merupakan seorang pencarum PERKESO di bawah program SPS Lindung iaitu satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan menerusi Belanjawan 2021 pada 6 November 2020. Inisiatif yang menyasarkan golongan bekerja sendiri seperti imam, bilal, guru takmir, noja dan siak ini memberi perlindungan kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) daripada sebarang bencana pekerjaan menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.
Simpati dengan kejadian malang tersebut, PERKESO telah menyegerakan penyampaian faedah PERKESO kepada balu Allahyarham, Dan Lat Ariffin, 66 tahun. Selain menerima bantuan tunai Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000, beliau turut memperoleh bantuan Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang akan dibayar untuk seumur hidup.
“Jutaan terima kasih sekali lagi kepada pihak PERKESO yang melaksanakan urusan dengan cepat dan pantas. Sesungguhnya manfaat caruman yang saya terima amat bermakna kepada saya dan keluarga untuk kami meneruskan kehidupan setelah kepergian arwah,” ulas Dan Lat.
Nurul Fazilah Abd Hamid, anak kepada arwah pula berkata “Kami sangat terkejut kerana arwah ada mencarum PERKESO kerana semasa hayatnya kami tidak tahu ayah ada PERKESO sehinggalah menerima panggilan telefon daripada PERKESO. Saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas keprihatinan pihak PERKESO yang begitu pantas, cepat dan sistematik, tidak sampai tiga minggu, urusan telah dapat dilaksanakan dengan baik oleh PERKESO.”
Di bawah inisiatif SPS Lindung, Kerajaan memperuntukkan geran sebanyak RM24 juta untuk disalurkan kepada OBS melalui pembiayaan bayaran penuh caruman SKSPS PERKESO. Caruman yang dibiayai Kerajaan ini adalah di bawah Pelan Caruman Kedua SKSPS PERKESO iaitu sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan setahun.
Sejak program SPS Lindung ini dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2021, seramai 75,396 OBS telah berdaftar dengan PERKESO. Jumlah ini mewakili 75 peratus daripada jumlah yang disasarkan iaitu seramai 100,000 orang.
Selain FPM dan FOT, antara faedah lain yang turut disediakan di bawah program ini termasuklah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Faedah Pendidikan.
Sehingga kini, sebanyak 17 kes tuntutan faedah telah dibayar kepada OBS yang mencarum di bawah program SPS Lindung. Penyertaan bagi program SPS Lindung ini dibuka sehingga 31 Disember 2021.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman web rasmi PERKESO di www.perkeso.gov.my atau hubungi 1-300-22-8000 atau emel perkeso@perkeso.gov.my.