COVID-19 benar-benar merupakan ‘musuh’ yang perlu dielakkan kerana ia boleh ‘membunuh’ sesiapa saja tanpa mengira usia.
Seperti yang diketahui, kes kematian di Indonesia disebabkan oleh virus itu kini melonjak dengan sangat tinggi.
Terbaru, sebuah keluarga di Bekasi, Jawa Barat, dilaporkan telah meninggal dunia akibat COVID-19 dan apa yang memilukan adalah mereka meninggal dunia pada hari yang sama, lapor Detik News.
“Satu keluarga, tempat tinggal yang berbeza, pada hari yang sama mereka meninggal dunia bersama,” kata Ketua Rukun Warga, Mulyono.
Kejadian yang berlaku pada Selasa lalu itu menyaksikan tiga ahli keluarga telah terkorban dan menjadi mangsa COVID-19.
Difahamkan, mereka bertiga merupakan seorang anak, ayah dan besan. Si anak telah dirawat di Hospital Bekasi manakala ayahnya pula menjalani kuarantin sendirian di rumah.
“Ya, seorang meninggal dunia di rumah dan dua orang lagi di hospital,” jelas Mulyono.
Ketiga-tiga mereka telah selamat dikebumikan dan beberapa ahli keluarga yang lain sedang menjalani kuarantin pada ketika ini.
Sumber: Detik News