
Azizulhasni Teruja Beraksi Di Olimpik Esok Buat Kali Terakhir
Atlet berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang merupakan satu-satunya harapan negara dalam membawa pulang kilaun pingat emas Olimpik negara.
Dalam satu perkongsian Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai Jijoe di Facebook berkata beliau sudah tidak sabar untuk bertanding dalam acara berbasikal yang bakal berlangsung esok.
Apatah lagi, ini merupakan olimpik terakhirnya sepanjang lima kali membuat penampilan di temasya berprestij tersebut.
Mampukah tamatkan sumpahan pingat emas negara?

Tambah pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu, menyarung baju kontinjen negara adalah satu momen yang akan sentiasa dikenang olehnya.
“Mewakili kontinjen Malaysia merupakan pengalaman paling tidak dapat dilupakan dalam kerjaya saya. Bangga untuk mencubanya sekali lagi!” tulisnya.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yakin bahawa Jijoe yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman mampu mempamerkan aksi terbaiknya pada Sukan Olimpik Paris 2024, lapor BERNAMA.
Hannah pada pertemuan bersama media Malaysia yang membuat liputan Olimpik Paris, berkata beliau tidak pernah risau dengan kesungguhan dan kematangan yang ditunjukkan oleh Jijoe.
“Beliau telah menyatakan mahu buru emas itu, saya rasa tiada isu tekanan atau apa-apa, kerana dari mula lagi kita semua tahu mengenai hasratnya. Bagi pihak kami, kita akan bantu mana-mana atlet yang mempunyai hasrat itu.
“Menerusi RTG (Road to Gold), kita meningkatkan sokongan untuk beliau dan kali kita terbangkan pakar dari Institut Jantung Negara (IJN) Prof Datuk Seri Jeffrey Jeswant Dillon, untuk pantau keadaannya. Saya percaya dengan adanya kemudahan yang RTG bagi, Azizulhasni mampu lakukan versi terbaik beliau di Paris,” katanya.
Pada Olimpik Tokyo 2020 lalu, Azizulhasni menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam acara keirin.
Ia selepas ditinggal jauh pelumba Great Britain, Jason Kenny. Manakala pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 dimenangi Harrie Lavreysen (Denmark).
Sumber: Facebook Azizulhasni Awang