Seorang lelaki maut, manakala anak kecilnya yang baru berusia tiga tahun mengalami pendarahan dalaman di kepala selepas dilanggar pemandu disyaki mabuk dalam satu kejadian di Kampar, Perak pada Ahad, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, si ayah yang berusia 42 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian dada, sementara isterinya, 33 tahun pula hanya mengalami cedera ringan.
Menurutnya, nahas yang berlaku di Kilometer 1, Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar kira-kira pukul 11:45 malam hari kejadian itu melibatkan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu mangsa serta Honda Civic yang dinaiki dua lelaki.
“Hasil siasatan mendapati Honda Civic telah memasuki laluan kenderaan mangsa (hingga) menyebabkan berlaku pertembungan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Kampar maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, memetik Sinar Harian.
Dalam pada itu, suspek berusia 29 tahun yang memandu Honda Civic berkenaan akhirnya ditahan polis selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk ketika kejadian.
Sehubungan itu, Mohamad Nazri berkata, suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan, sementara mayat mangsa pula dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk dibedah siasat.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya.
Sumber: Sinar Harian