Awesome Tv fail tindakan undang-undang
Gambar: Fb Awesome TV

Awesome TV Fail Tindakan Undang-Undang Terhadap Dakwaan Fitnah Oleh Tiga Selebriti Tempatan

Iqbal Yasir

Awesome TV Fail Tindakan Undang-Undang Terhadap Dakwaan Fitnah Oleh Tiga Selebriti Tempatan

KUALA LUMPUR — Awesome Broadcasting Sdn Bhd atau Awesome TV memaklumkan satu tindakan undang-undang telah difailkan hari ini terhadap tiga selebriti tempatan berikutan kenyataan berunsur fitnah yang disebarkan melalui laman media sosial masing-masing.

Perkara itu disahkan oleh stesen tv berkenaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Menurut kenyataan tersebut, tindakan itu diambil susulan penyebaran dakwaan tidak berasas oleh tiga individu terbabit.

Difahamkan, ketiga-tiga selebriti itu yang menuduh Awesome TV gagal melunaskan bayaran bagi penglibatan mereka dalam program-program televisyen yang disiarkan di stesen terbabit.

“Pihak Awesome TV ingin menjelaskan bahawa semua program yang disiarkan di saluran kami diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar (production house) dan sebarang urusan kontrak serta pembayaran artis adalah tanggungjawab penuh pihak produksi berkenaan.

“Kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga individu terbabit sudah menjejaskan imej serta reputasi Awesome TV,” maklum kenyataan rasmi syarikat tersebut.

Lebih mengejutkan, isu itu turut dibawa ke Parlimen oleh Syerleena Abdul Rashid (Ahli Parlimen Bukit Bendera) tanpa sebarang pemeriksaan dan fakta yang lebih teliti.

Ia sekali gus mengundang salah faham dan memberi gambaran yang tidak tepat terhadap pihak Awesome TV.

“Sebagai ahli parlimen, beliau sepatutnya berlaku adil menyiasat fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.

“Justeru itu, pihak Awesome TV telah mengarahkan firma guaman Shafie & Co untuk memfailkan saman berunsur fitnah terhadap mereka bagi melindungi integriti Awesome TV.

“Awesome TV memandang serius sebarang tuduhan yang tidak berasas dan sebarang usaha untuk mencemarkan nama baik Awesome TV,

Tambah Awesome TV, pihaknya komited menyediakan kandungan berkualiti kepada rakyat Malaysia dan akan terus mempertahankan hak serta reputasinya melalui saluran undang-undang yang sewajarnya,” maklum kenyataan itu.

Sumber: Awesome TV

BACA: “Banyak Berjasa,” Amir Raja Lawak Sayu Lepaskan Kereta Kesayangan

BACA: Dokumen Tambahan: Mahkamah Persekutuan Tetapkan 13 Ogos Umum Keputusan Rayuan AG