Kes jenayah melibatkan wang masih aktif berlaku hingga ke hari ini. Seperti kebiasaan, orang ramai diminta untuk lebih berwaspada dengan taktik panggilan telefon yang dibuat oleh penjenayah (scammer) sebagai satu helah bagi sindiket penipuan dalam talian.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi perkongsian di ruangan Instagram (IG) berkata, orang ramai diminta berwaspada dengan taktik panggilan telefon terbaharu oleh penjenayah yang menyasarkan sukarelawan NGO.
Menurut PDRM, penjenayah tersebut akan membuat panggilan menerusi aplikasi WhatsApp dengan menggunakan nama dan gambar profil ahli keluarga rakan yang turut menyertai sukarelawan sebuah NGO dengan tujuan untuk menipu pinjaman wang.
Kemudian, suspek yang menyamar tadi akan memaklumkan kepada mangsa kononnya nombor telefon asal sedang mengalami masalah sebelum membuat pinjaman wang dengan mengarahkan mereka untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam sebuah akaun bank tidak dikenali.
Sehubungan itu, PDRM menasihatkan orang ramai untuk menyemak terlebih dahulu latar belakang pemanggil sebelum membuat transaksi seperti yang diminta agar tidak menjadi mangsa penipuan seterusnya.
Gambar: PDRM OfficialSumber: PDRM Official