Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (tahap bahaya) terhadap tiga negeri di Semenanjung Malaysia, sehingga esok.
Menurut kemaskini MetMalaysia setakat jam 1.25 tengah hari tadi, tiga negeri yang dijangka mengalami hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya ialah Kelantan di kawasan Jeli, Terengganu di Kemaman dan Pahang di Kuantan.
Selain itu, MET Malaysia turut mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (buruk) membabitkan empat kawasan lain di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Sabtu ini.
Di Kelantan, kawasan yang dijangka terlibat ialah Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang, manakala Terengganu di Besut, Hulu Terengganu dan Dungun serta Pahang di Jerantut, Maran dan Pekan.
Dalam masa yang sama, Amaran Hujan Berterusan (waspada) sehingga Sabtu ini melibatkan negeri Perlis, Kedah di kawasan Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling, Perak di Hulu Perak, Kelantan di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Putih.
Di Terengganu membabitkan kawasan Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, dan Marang, di Pahang kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin serta di seluruh Johor.
Manakala Amaran Hujan Berterusan (waspada) sehingga Ahad pula melibatkan beberapa daerah di Sabah iaitu kawasan Pantai Barat (Ranau), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
Oleh itu, semua penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan maklumat cuaca terkini.
Sumber: MetMalaysia