Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan kategori buruk dan waspada di beberapa negeri dan wilayah bermula hari ini hingga esok.
Menerusi kenyataan, kawasan yang terlibat meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.
Kawasan yang dijangka akan mengalami hujan lebat berterusan tahap buruk ialah seluruh Kelantan, Terengganu, Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor di Mersing.
Manakala hujan berterusan tahap waspada pula dijangka akan melanda seluruh Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Amaran sama turut dikeluarkan di Perak (Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera) dan Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Oleh itu, pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal dinasihatkan agar berhati-hati semasa melalui kawasan hujan lebat.

Sumber: MetMalaysia