KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak, Melaka mengesahkan tiga kes positif COVID-19 yang dikesan di sana.
Markas Angkatan Tentera Malaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan, pengesahan tersebut merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah semalam berkaitan kes penularan tempatan di hospital berkenaan.
“Adalah disahkan tiga kes yang dikesan di HAT Kem Terendak melibatkan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan pada 24 Ogos yang terdiri daripada dua oarang pesakit awam dan seorang anggota tentera.
“Pesakit awam berkenaan dikesan sewaktu saringan pra-pembedahan dan anggota tersebut dikesan setelah mendapatkan rawatan kerana bergejala,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Difahamkan, kesemua yang terlibat telah dihantar ke Hospital Melaka bagi tujuan isolasi dan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Kawalan Jangkitan Peringkat Hospital bagi siasatan dan pengesanan kontak rapat dijalankan.
“Ia turut melibatkan siasatan kepada petugas hospital, kerja-kerja dekontaminasi di kawasan disyaki tercemar, ujian swab serta isolasi.
“Sehingga kini ujian swab ke atas 138 orang disyaki kontak rapat telah dilaksanakan dan sedang menunggu keputusan,” tambah kenyataan itu lagi.
Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mewujudkan kebimbangan kepada masyarakat setempat.

Sumber: Markas ATM