Putrajaya, 29 Disember – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan rangkaian data milik angkatan itu telah berlaku serangan siber. Dalam satu kenyataan pagi tadi, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM berkata, serangan itu hanya melibatkan segmen tertentu dan tidak mengganggu operasi portal yang sebenar.
Katanya, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM telah mengesan serangan itu dan bertindak melindungi lokasi data-data berdarjah daripada penggodam.
“Serangan siber tersebut gagal menjejaskan operasi portal sebenar sebaliknya hanya berjaya menggodam segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi.
“ATM juga menyedari wujudnya cubaan serangan siber yang berterusan terhadap rangkaian maklumat yang dimiliki oleh pihak Kementerian Pertahanan dan ATM,” tulis kenyataan itu, menegaskan ATM akan memperketat aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa bagi melindungi rangkaian komunikasi pertahanan negara.