
ATM Keluarkan Kenyataan Berhubung Insiden Kekecohan Warga Palestin Di WTKL
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan telah berlaku satu insiden kekecohan melibatkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada 4 Januari 2025, jam 5.00 petang.
“Kekecohan dipercayai berpunca daripada keinginan warga Palestin yang mahukan proses permohonan mereka untuk kembali ke Palestin dipercepatkan.
“Akibat daripada insiden tersebut, pegawai dan anggota ATM yang bertugas telah bertindak berbincang bersama warga Palestin yang terlibat.
“Situasi berkenaan dapat dikawal tanpa melibatkan sebarang pergaduhan dan kecederaan, hanya berlaku sedikit kerosakan peralatan perabot di WTKL.
Tambah ATM, kesemua mereka telah bersurai kira-kira jam 7.30 petang.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden tersebut,” kata ATM dalam kenyataan itu.
Terdahulu tular di media sosial menunjukkan sekumpulan rakyat Palestin menimbulkan kekecohan sama di WTKL pada tahun lalu.
Pada 16 Ogos lalu, dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan 127 orang awam Palestin yang cedera dari Mesir ke Pangkalan Udara Subang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Langkah itu merupakan cetusan idea daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengumumkan bahawa Malaysia merancang untuk menerima orang awam Palestin yang cedera bagi membolehkan mereka menerima rawatan di Malaysia.
Sumber: ATM