Peluang ‘keemasan’ untuk rakyat Malaysia dapat merentas negeri pulang ke kampung halaman masing-masing dijangka berlaku tidak lama lagi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Seri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, orang awam perlu mengambil tindakan proaktif seperti yang disarankan Menteri Kesihatan mengenai pengambilan ujian air liur.
“Sedikit masa lagi rakyat Malaysia akan dibenarkan merentas negeri untuk balik kampung dan melancong.
“Tetapi ingin diperingatkan agar kita ambil tindakan proaktif untuk jalani ujian air liur RTK Agen kendiri supaya kita dapat pastikan kita tidak bawa jangkitan kepada mereka di kampung,” katanya di Twitter hari ini.
Noor Hisham berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menyarankan orang awam untuk menjalani ujian kendiri tersebut, seperti yang dilaporkan oleh Bernama di Twitter.
“Berapa sikit lagi ni?”
Dalam pada itu, Noor Hisham turut menjawab persoalan daripada netizen dalam bebenang Twitter tersebut yang bertanya tentang waktu sebenar boleh merentas negeri.

Tulis netizen berkenaan, “Asyik sikit masa je lagi. Berapa sikit lagi ni? Saya dah packing baju ni,” tulisnya dalam nada bergurau. Noor Hisham menjawab,
“Kita bergantung kepada maklumat data bukan tarikh. Terkini 88.4 peratus rakyat dewasa telah pun lengkap divaksinkan.
“Apabila kita mencapai 90 peratus rakyat dewasa lengkap divaksinkan maka merentas negeri akan dibenarkan,” jawabnya kepada persoalan tersebut.
Sumber: Twitter Dr. Noor Hisham / KKM