pencuri patung purba kuil
Gambar: The Guardian

Asyik Mimpi Bukan-bukan, Pencuri Terpaksa Pulangkan Balik Patung Purba Kuil Yang Dicuri

Iqbal Yasir

Gara-gara sering mimpi bukan-bukan, pencuri terpaksa pulangkan semula patung-patung yang dicuri dari sebuah kuil purba di India baru-baru ini, lapor The Guardian.

Menurut laporan, sekumpulan individu dilapor telah mencuri kira-kira 16 buah patung yang berusia 300 tahun di sebuah kuil Hindu purba di Uttar Pradesh India minggu lepas.

Bagaimanapun menurut inspektor polis, Rajiv Singh, selepas kejadian itu, mereka terpaksa berdepan dengan perkara buruk iaitu bermimpi hal-hal mistik lagi menyeramkan.

Serik dengan nasib malang menimpa, mereka akhirnya terpaksa memulangkan semula 16 patung itu berhampiran dengan rumah seorang ketua kuil di Chitrakoot.

“Mereka juga meninggalkan surat pengakuan yang mengatakan mahu memulangkan patung yang berusia 300 tahun itu kerana kerap mengalami mimpi yang menakutkan,” kata Rajiv kepada pemberita.

Dalam surat pengakuan berbahasa Hindi itu, mereka memohon maaf dan menyesali perbuatan buruk yang dilakukan.

“Kami tidak dapat tidur, makan dan hidup dengan aman. Kami sudah muak dengan mimpi yang menakutkan dan memulangkan barang berharga anda,” tulis pencuri itu.

Bagaimanapun, sehingga sekarang identiti dan lokasi pencuri-pencuri berkenaan masih lagi belum dapat dikenal pasti.

Difahamkan, patung yang dicuri itu mempunyai perhiasan perak, campuran aloi dari lapan jenis logam dan seberat lima kilogram.

Mungkin sebab bahan buatannya yang bernilai itulah membuatkan mereka nekad untuk mencuri patung purba berkenaan.

Sumber: The Guardian