asrama sekolah pondok di aceh
Kredit: CNN Indonesia

Asrama Sekolah Pondok Di Aceh Ranap Akibat Banjir Dan Tanah Runtuh

Sofea

Asrama Sekolah Pondok Di Aceh Ranap Akibat Banjir Dan Tanah Runtuh

Indonesia — Bangunan asrama sekolah pondok Najmul Hidayah Al Aziziyah di Daerah Bireuen, Aceh, runtuh akibat banjir yang menyebabkan berlaku hakisan tebing dan tanah runtuh.

Memetik laporan Detik News, tiada kematian dilaporkan dalam insiden tersebut.

“Alhamdulillah, tiada mangsa kerana para pelajar telah dipindahkan sejak malam tadi ke masjid. Allah Maha Kuasa,” kata Ketua Dayah Najmul Hidayah Al Aziziyah, Teungku (Tgk) Adli Abdullah.

Untuk pengetahuan, beberapa daerah di Aceh dilanda hujan lebat berterusan sejak seminggu lalu dan sembilan daerah telah mengalami banjir serta tanah runtuh akibat limpahan sungai dan peningkatan paras air secara mendadak.

Adli menjelaskan bahawa lokasi asrama lelaki di pondok yang dipimpin Tgk Tarmizi M Daud Al Yusufy atau Waled Ar itu memang terletak berhampiran tebing sungai.

Disebabkan arus deras, struktur perlindungan tebing akhirnya rosak dan mengakibatkan bangunan tersebut runtuh.

“Tanah runtuh itu berlaku kerana bongkah batu besar yang dipasang sebagai perlindungan tebing sungai tidak mengikut spesifikasi,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa struktur tebing sungai yang dibina menggunakan bongkah batu besar itu sememangnya tidak memenuhi standard, memandangkan isu berkenaan telah melalui proses undang-undang sebelum ini.

BACA: Kronologi Runtuhan Sekolah Pondok Al Khoziny Di Indonesia

Pihak yang bertanggungjawab juga telah menjalani hukuman.

“Tembok perlindungan tebing sungai itu dibina pada tahun 2016 dan pernah mengalami kerosakan akibat banjir kilat yang melanda Sungai Krueng Batee Iliek,” katanya.

Beliau menganggarkan kerugian material akibat runtuhan bangunan asrama tersebut melebihi Rp6 bilion.

Adli turut memaklumkan bahawa para pelajar kini berlindung di masjid pondok berkenaan.

Mereka sudah dipindahkan sebelum kejadian runtuhan. Buat masa ini, mereka kehilangan tempat tinggal, pakaian dan peralatan peribadi yang lain.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya kini memerlukan bantuan kecemasan daripada kerajaan, khususnya penyediaan dapur umum serta pakaian untuk para pelajar.

“Kami memerlukan dapur darurat dan pakaian ganti untuk pelajar, memandangkan seramai 329 orang menghuni asrama ini,” kata Adli.

Sementara itu, detik-detik ketika runtuhan bangunan itu telah menjadi tular di media sosial.

Sumber: Detik News