
ASICS, jenama sukan global terkemuka, telah melancarkan kempen terbaharunya bertajuk ‘Little Reminders’ di seluruh Asia Tenggara bersempena Global Running Month. Kempen ini bertujuan memupuk semangat kecergasan dalam kalangan kanak-kanak melalui pendekatan yang menyeronokkan dan tidak membebankan, sambil memberi mesej penting kepada ibu bapa dan masyarakat bahawa sukan dan aktiviti fizikal seharusnya menjadi satu bentuk kegembiraan, bukannya tekanan.
Kempen ini dilancarkan susulan kajian ASICS baru-baru ini yang mendapati bahawa 4 daripada 5 kanak-kanak (82%) menyatakan lebih suka bersenam secara santai dan menyeronokkan, berbanding tekanan untuk menjadi terbaik. Dalam kaji selidik tersebut, kanak-kanak menyatakan bahawa mereka ingin berlari dan bermain demi keseronokan.

Sebagai sebahagian daripada kempen ini, ASICS memperkenalkan satu siri video dan kandungan media sosial yang memaparkan mesej ringkas daripada kanak-kanak, dipanggil ‘Little Reminders’ untuk menggalakkan ibu bapa dan penjaga agar memberi ruang kepada keseronokan melalui aktiviti fizikal. Dengan menggunakan suara tulen kanak-kanak, kempen ini menyampaikan mesej penting bahawa kebebasan dan kegembiraan adalah kunci kepada gaya hidup sihat.
Kempen ‘Little Reminders’ akan disokong dengan pelbagai aktiviti komuniti termasuk sesi larian keluarga, bengkel kecergasan kanak-kanak dan kolaborasi dengan sekolah serta institusi kesihatan di rantau ini. Kempen ini akan dilancarkan di negara-negara seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam, dengan sokongan dari atlet, pendidik dan pakar psikologi kanak-kanak.
ASICS menyeru ibu bapa, pendidik, dan masyarakat umum untuk menyertai kempen ini dan berkongsi momen kegembiraan anak-anak mereka ketika bergerak dan bersukan. Gunakan hashtag #LittleReminders dan #SoundMindSoundBody di media sosial sepanjang bulan ini untuk menunjukkan sokongan terhadap mesej penting ini.