Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi ketua Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara untuk menggunakan aset tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam, bomba dan agensi-agensi sokongan lain untuk memindahkan mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas.
Menurutnya, pihak-pihak yang terlibat juga perlu memastikan bekalan makanan serta keperluan selain khidmat kesihatan disediakan segera di pusat pemindahan sementara.
Beliau juga telah diberi taklimat megenai keadaan banjir yang melanda beberapa negeri oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada Jumaat.
Tambahnya lagi, semua kementerian yang berkaitan sudah diarahkan untuk segera gerakkan aset di kawasan yang terjejas bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan segera.
“NADMA juga diminta untuk turut bekerjasama dengan wakil rakyat di setiap kawasan kerana mereka juga mempunyai maklumat mangsa banjir dan pengumpulan maklumat ini dapat menyegerakan semua pelaksanaan pemindahan dan bantuan.
“Saya juga telah mengarahkan NADMA untuk menyediakan talian kecemasan bagi komunikasi mangsa banjir yang masih terperangkap selain mendapatkan maklumat di laman media sosial rasmi NADMA dan agensi-agensi terlibat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Katanya lagi, orang ramai yang berada di kawasan yang terjejas akibat banjir dinasihatkan mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa.
“Saya akan terus memantau situasi bencana ini dari semasa ke semasa dan akan maklumkan kepada Keluarga Malaysia, langkah-langkah dan tindakan yang dilaksanakan,” katanya.
Sumber: Ismail Sabri Yaakob