Iran Tutup Selat Hormuz
Gambar: AFP

AS Desak China Halang Iran Dari Tutup Selat Hormuz

Hannah

AS Desak China Halang Iran Dari Tutup Selat Hormuz

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, menggesa China agar membantu menghalang Iran daripada menutup Selat Hormuz, satu laluan perdagangan penting, susulan serangan tentera AS terhadap tapak nuklear Iran.

“Saya menggesa kerajaan China di Beijing agar menghubungi mereka mengenai perkara ini kerana China sangat bergantung kepada Selat Hormuz untuk bekalan minyak mereka,” kata Rubio dalam wawancara bersama Fox News, seperti dilapor AFP.

Penganalisis berpendapat Iran mungkin memilih untuk bertindak balas terhadap serangan Washington pada awal pagi Ahad itu dengan menutup Selat berkenaan, laluan yang menjadi laluan kira-kira satu perlima daripada pengeluaran minyak global.

“Jika mereka berbuat demikian, itu akan menjadi satu lagi kesilapan besar. Ia ibarat membunuh diri secara ekonomi bagi mereka, dan kami mempunyai beberapa pilihan untuk menanganinya.

“Tetapi negara lain juga perlu memandang serius perkara ini kerana ia boleh menjejaskan ekonomi mereka jauh lebih teruk berbanding kami.

“Saya fikir ia akan menjadi satu peningkatan ketara dalam konflik yang wajar diberikan tindak balas, bukan sahaja oleh kami, malah oleh negara-negara lain juga,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Iran telah mengancam pangkalan yang digunakan oleh tentera AS, dengan seorang penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berkata pangkalan tersebut akan dianggap sebagai “sasaran sah untuk angkatan bersenjata kami”.

Namun begitu, masih belum jelas sama ada serangan oleh AS itu akan mendorong Tehran untuk meredakan ketegangan atau memperluaskannya lagi.

Sementara itu, China telah menyertai Rusia dan beberapa negara Arab dalam mengecam serangan oleh AS, dengan menyatakan bahawa tindakan tersebut “hanya meningkatkan ketegangan di Timur Tengah”.

BACA: Penasihat Pemimpin Tertinggi Iran Tegas Simpanan Uranium Masih Selamat

BACA: Ketahui ‘Padah’ Penutupan Selat Hormuz

BACA: Parlimen Iran Lulus Langkah Tutup Selat Hormuz Susulan Serangan AS Ke Atas Tapak Nuklear

Sumber: AFP